Cabaran Shahrir ingkari titah Sultan Johor - Utusan Malaysia

Cabaran Shahrir ingkari titah Sultan Johor

MAHATHIR
SHAHRIR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cabaran Tan Sri Shahrir Abdul Samad kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menarik sokongan terhadap kerajaan Johor seolah-olah mengingkari titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, baginda sebelum ini bertitah agar semua parti politik di negeri ini tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan ketidakstabilan politik berlaku.

Katanya, Sultan Johor bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, Ogos lalu.

“Lalu apa keperluan beliau (Shahrir) mencabar Bersatu untuk tarik sokongan kepada Menteri Besar? Apakah beliau cuba menggagalkan titah Sultan Ibrahim?

“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, sepatutnya beliau bekerjasama erat dengan Bersatu berbanding mengeluarkan kenyataan mencabar Tan Sri (Muhyiddin) menjatuhkan kerajaan negeri.

“Masakan beliau tidak tahu pilihan raya negeri akan terpaksa diadakan sekiranya cabaran itu disambut Presiden Bersatu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Shahrir dilaporkan berkata, UMNO Johor bersedia sekiranya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri ini.

“Nak tarik sokongan supaya ada juga PRN Johor? Silalah. UMNO Johor tetap bersedia,” jelas Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu dalam satu hantaran di Facebooknya.

Semantara itu, Faezuddin turut menasihatkan supaya UMNO dan Bersatu yang saling bercakaran dan saling menjatuhkan antara satu sama lain agar menghentikan adegan tersebut dan lebih mementingkan rakyat.

Katanya, daripada berterusan berebut kuasa, adalah lebih baik kedua-dua parti Melayu itu berganding bahu memikirkan usaha membantu rakyat yang terkesan pandemik Covid-19.

“Di peringkat pusat, UMNO menjatuhkan Muhyiddin, di peringkat negeri Perak, UMNO menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan di Melaka pula pemimpin UMNO sendiri yang menjatuhkan kerajaan. Takkan UMNO-Bersatu nak ulang adegan semua ini di Johor?

“Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ketika ini, sewajarnya kita semua saling kerjasama memikirkan tentang kebajikan rakyat serta mencari penyelesaian bagi membaiki kedudukan ekonomi dan hentikan segala percaturan politik merebut kuasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN