Bunuh Zulfarhan: Nasib 18 penuntut UPNM diketahui esok - Utusan Malaysia

Bunuh Zulfarhan: Nasib 18 penuntut UPNM diketahui esok

ALLAHYARHAM Zulfarhan Osman Zulkarnain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasib 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi esok.

Hakim Datuk Azman Abdullah akan menyampaikan keputusan akhir kes pembelaan selepas mendengar hujahan lisan selama dua hari iaitu pada 29 dan 30 September lalu serta hujahan bertulis kedua-dua pihak.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 29 Januari 2018 pihak pendakwaan memanggil seramai 31 saksi antaranya saksi pendakwaan keenam, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad.

Bagi perbicaraan bela diri yang bermula pada 2 Oktober 2019, pihak pembelaan memanggil seramai 20 saksi termasuk Pakar Perunding Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Rohayu Shahar Adnan merupakan yang saksi pembelaan ke-19.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, 12 lagi pelajar terdiri daripada Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala dan Luqman Hakim Shamsuri diperintah membela diri terhadap pertuduhan mencederakan mangsa.

Selain itu, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri.

Mereka disabitkan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi.

Pasukan peguam bela terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M. Ramachelam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.

Pendakwaan antara lain berhujah, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-30 iaitu bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr. Harniza Kosnan yang mengatakan sepanjang Zulfarhan berada di UPNM, mangsa tidak pernah mengadu kesukaran atau kesesakan nafas atau sakit jantung atau apa-apa sakit selain daripada demam dan sakit lutut.

Bagaimanapun, pembelaan berhujah bahawa terdapat percanggahan keterangan antara dua pakar perubatan mengenai punca kematian Zulfarhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya