JOHOR BAHRU: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menegaskan tindakan membubarkan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan semudah seperti menekan butang sahaja sebaliknya ia perlu mengikut kepada Perlembagaan.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai Perlembagaan negara, selain setiap negeri turut mempunyai Perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri masing-masing.
“Sudah reda sikit, saya hendak jawab sikit. Negara kita ini ada Perlembagaan. Negeri pun ada Perlembagaan masing-masing.
“Tambahan pula, ada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Pemerintah dan Ketua-ketua negeri yang juga ada peranan dan tanggungjawab berperlembagaan.
“Hendak bubar Dewan Rakyat atau DUN, bukan semudah dengan ‘tekan butang’ je (sahaja),” katanya sebagai menjawab kenyataan dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Tambah Shahrir, isu berkenaan Muhyiddin jatuh dan UMNO tidak menyokongnya turut mempunyai kaitan dengan amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Dalam soal ‘saya jatuh UMNO tidak sokong’ pun ada kaitannya dengan konsep asas kepada amalan demokrasi kita, iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
“Itu, kalau kita masih boleh ingat,” ujarnya menerusi kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin memberitahu pihaknya tidak berdepan seberang masalah untuk mengambil langkah drastik sehingga menyebabkan DUN Johor terbubar.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya tidak akan berbuat demikian kerana mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri ini. -UTUSAN ONLINE










