Bot tiada lesen bawa 7 penumpang ditahan - Utusan Malaysia

Bot tiada lesen bawa 7 penumpang ditahan

MARITIM MALAYSIA Pulau Pinang menahan sebuah bot yang membawa penumpang tanpa lesen yang sah pada kedudukan 1.3 batu nautika timur Batu Maung semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri menahan sebuah bot yang membawa penumpang tanpa lesen yang sah pada kedudukan 1.3 batu nautika timur Batu Maung dekat sini semalam. 

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot ronda agensi berkenaan kira-kira pukul 5.55 petang ketika Op Pertiwi.

“Ketika diperiksa, bot yang dikendalikan tekong yang membawa tujuh penumpang warga tempatan berumur antara 38 hingga 56 tahun itu gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang. 

“Bot itu dan kesemua mereka kemudiannya diiring masuk  ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum tekong dan penumpang dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah. 

Sementara itu, beliau turut mengingatkan  pemilik dan tekong bot supaya mematuhi undang-undang di laut manakala penumpang  harus peka dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa supaya tahap keselamatan lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan, orang ramai diminta segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya