REMBAU: Seorang lelaki yang mengalami kecederaan ketika mendaki Gunung Datuk di sini, diselamatkan pasukan bomba, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Arif Ahmad Osasi berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan menemukan seorang lelaki terbaring di laluan menuruni Gunung Datuk kira-kira pukul 4.56 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi dan tiba pada pukul 5.13 petang dan terus memulakan operasi menyelamatkan mangsa.
“Mangsa berusia 22 tahun ditemukan pada pukul 7 petang dalam keadaan mengalami kekejangan. Tugas penyelamatan membawa mangsa turun dilakukan dengan cara memapah mangsa hingga ke kaki Gunung Datuk,” katanya hari ini.
Menurutnya, mangsa memaklumkan telah memulakan pendakian selepas pukul 12 tengah hari dan mengalami kekejangan ketika perjalanan turun.
Operasi menyelamatkan mangsa selesai pada pukul 8.20 malam.










