ARAU: Menjelang lima hari berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, momentum kempen serta kelebihan dilihat masih memihak kepada Barisan Nasional (BN) yang dijangka menang sekurang-kurangnya 18 sehingga 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kekuatan jentera dan akar umbi selain keupayaan calon BN yang terdiri daripada muka baharu dan anak tempatan yang disenangi masyarakat di kawasan setempat memberi kelebihan besar kepada parti itu.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, langkah BN menampilkan 86 peratus calon muka baharu yang berwibawa dan tidak mempunyai isu merupakan keputusan bijak sekali gus memberi kelebihan.
Malah katanya, kehadiran beberapa pemimpin yang menjadi ikon BN seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Melaka banyak membantu kempen BN khususnya dalam mendekati rakyat di akar umbi.
“Saya melihat momentum kemenangan dalam PRN Melaka Sabtu ini, masih memihak kepada BN. Keupayaan calon BN yang lebih dikenali dan tahu selok-belok di kawasan masing-masing memberi kelebihan kepada BN berbanding dua lagi pencabar Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
“Malah, di peringkat akar umbi, ahli Pas juga dilihat lebih cenderung kepada Muafakat Nasional (MN) dan tidak mustahil undi mereka diberikan kepada calon BN berbanding PN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Kamarul Azman yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS), PH dilihat sukar kembali mendapat mandat daripada rakyat yang kecewa dan serik dengan pemerintahan selama 22 bulan gabungan itu sebelum ini.
Namun katanya, PH tetap mempunyai peluang khususnya di kawasan bandar dan majoriti pengundi Cina dan campuran.
“Rakyat masih hilang kepercayaan terhadap PH selepas kegagalan gabungan tersebut sebelum ini yang gagal memenuhi janji manifesto dan sebagainya. Rakyat dilihat kembali merindui zaman pemerintahan BN sekali gus memberi kelebihan kepada BN dalam PRN Melaka,” katanya.
Katanya, peluang PN dalam PRN Melaka pula dilihat lebih tipis dan dijangka gabungan tersebut hanya mampu menang sekurang-kurangnya dua kerusi DUN sahaja.
“Komponen PN seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak mempunyai kekuatan akar umbi dan jentera selain mengetengahkan calon yang kurang dikenali.
“Pas pula, agak sukar menembusi Melaka yang masih kekal sebagai kubu kuat BN selain dilihat bertanding di kerusi sukar,” katanya.










