BN ada peluang menang PRN Melaka - Utusan Malaysia

BN ada peluang menang PRN Melaka

HASAN Rahman mengadakan sidang akhbar selepas meninjau keadaan di RTC Sungai Rambai, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Barisan Nasional (BN) dilihat mampu menang dan membentuk kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.

Keyakinan tersebut, kata Pengarah BN Parlimen Jasin itu, bersandarkan kepada jentera parti itu lebih tersusun, bersistematik dan berstruktur mampu menarik ramai pengundi untuk memilih calon BN yang bertanding.

Selain itu katanya, rakyat kini telah mula sedar atas kesilapan mereka yang terpengaruh dengan propaganda dan fitnah yang disebarkan oleh pembangkang hingga menyebabkan BN tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menegaskan perkara tersebut, beliau yang juga Pengarah Jentera BN Parlimen Jasin mahu rakyat di negeri ini tidak perlu lagi mengulangi kesilapan pada PRU-14 dan kali ini mereka harus memenangkan calon-calon BN kerana parti itu membuktikan telah membela nasib rakyat sejak lebih 60 tahun lalu.

“BN tewas pada 2018 disebabkan rakyat terkeliru dengan propaganda dan fitnah yang disebarkan oleh pembangkang ketika itu.

“Memenangkan BN adalah satu kemestian jika rakyat ingin melihat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar dan pelbagai bentuk pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan.

“Lihat sahaja apa yang dibangunkan di Sungai Rambai kita ada Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), pejabat daerah kecil, adanya mahkamah rendah syariah dan sebagainya. Ini semua untuk keselesaan dan kemudahan buat rakyat setempat,” katanya dalam sidang akhbar di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Sungai Rambai hari ini.

Hasan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, jika rakyat mahu melihat semua ini berterusan maka pastikanlah calon-calon BN menang bukan sahaja di lima DUN di Jasin tetapi juga di seluruh negeri, Sabtu ini.

Mengulas mengenai peluang BN untuk menang di lima DUN di Jasin, beliau yakin parti itu mampu mempertahankan empat DUN yang dimenangi pada PRU-14 iaitu Rim, Sungai Rambai, Serkam dan Merlimau.

Bagi DUN Bemban pula katanya, tidak mustahil BN mampu merampas kembali kawasan tersebut yang terlepas kepada pihak pembangkang pada 2018.

Ditanya kemungkinan jika BN tidak dapat membentuk kerajaan negeri Hasan berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN