PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan rakyat untuk sentiasa bijak dalam memilih kaedah pelaburan yang menjanjikan pulangan terbaik, menguntungkan, selamat dan patuh syariah.
Titah baginda, terdapat sebilangan rakyat pada masa ini memilih membuat simpanan dalam bentuk emas seperti dinar, jongkong emas dan barang kemas yang dilihat sebagai pelaburan jangka panjang berikutan pulangannya lebih stabil dan tidak bersifat spekulatif.
“Malah, wanita kini juga banyak yang cenderung memilih barang kemas sebagai aset kerana ianya boleh berfungsi sebagai perhiasan, dipajak atau dijual di kala memerlukan, dilaburkan untuk menambah pendapatan serta digunakan dalam perniagaan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 30 asnaf di Masjid Al Ridza, Panggas, di sini hari ini.
Sumbangan bernilai RM21,000 itu diserahkan kepada amil masjid itu, Kasim Emat untuk diagihkan kepada asnaf tersebut yang masing-masing menerima RM700 setiap seorang.
Hadir sama mengiringi baginda Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Tambah baginda, memetik kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI, hampir separuh daripada golongan T20 yang memohon pengeluaran melalui program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), merancang untuk membuat pelaburan dalam bentuk emas dan saham bagi mengukuhkan lagi keadaan kewangan mereka bagi menghadapi pelbagai kemungkinan akibat ancaman pandemik Covid-19.
“Situasi tersebut merupakan perkembangan positif dan menunjukkan semakin ramai anggota masyarakat yang peka akan keperluan menabung atau melabur demi masa depan yang lebih terjamin dan bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’,” titah baginda. – UTUSAN