Biawak 20 kilogram cuba masuk bank, dipercayai sesat dan kelaparan - Utusan Malaysia

Biawak 20 kilogram cuba masuk bank, dipercayai sesat dan kelaparan

PASUKAN Angkatan Pertahanan Awam (APM) menangkap seekor biawak seberat 20 kilogram tersesat dekat hadapan sebuah bank di Jeram, Kuala Selangor, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Suasana di sebuah bank di Sungai Buloh, Jeram di sini, gempar apabila seekor biawak seberat 20 kilogram (kg) tersesat dan mahu memasuki premis itu, petang semalam.

Kejadian pukul 4.50 petang itu disedari beberapa orang awam yang terkejut melihat reptilia sepanjang tiga meter di pintu premis tersebut.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman, sepasukan lima anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati biawak bersaiz besar itu masih berada di hadapan bank berkenaan.

“Pada waktu itu, reptilia berkenaan dilihat mahu memasuki premis tersebut dengan cuba menolak pintu cermin.

“Operasi menangkap biawak itu kemudian dilakukan menggunakan alat penjerut bagi mengelak ia bertindak agresif,” katanya.

Jelas Suzaini, operasi berjalan lancar dan biawak tersebut berjaya ditangkap dalam tempoh lima minit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan termasuk melibatkan orang awam yang berurusan di bank berkenaan. Biawak itu selamat dilepaskan ke sebuah kawasan parit berdekatan,” ujarnya.

Tambah beliau, reptilia itu dipercayai tersesat dan mahu memasuki bank berkenaan kerana faktor sejuk atau kelaparan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN