Tiada penalti kesilapan borang duti setem sepanjang 2026

Tiada penalti kesilapan borang duti setem sepanjang 2026

LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA (HASiL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengesahkan tiada penalti akan dikenakan ke atas surat cara yang disetemkan di bawah Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1, meskipun berlaku kesalahan mengemukakan Borang Nyata Duti Setem (BNDS) yang tidak betul atau mengandungi maklumat tidak tepat.

HASiL memaklumkan, konsesi khas tanpa penalti itu berkuat kuasa bagi permohonan penyeteman yang dikemukakan mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2026, selaras dengan pelaksanaan STSDS Fasa 1 yang akan bermula pada 1 Januari 2026.

Menurut kenyataan itu, pengecualian penalti berkenaan meliputi kesalahan memberikan maklumat yang tidak betul atau tidak tepat berkaitan perkara yang memberi kesan kepada pengenaan duti setem.

“Pemberian konsesi khas ini dilaksanakan sebagai satu langkah pendidikan dan sokongan peralihan bagi memupuk kesedaran serta menggalakkan pematuhan secara sukarela dalam kalangan pembayar duti,” katanya.

Tambah HASiL, tempoh konsesi berkenaan juga bertujuan memberi ruang mencukupi kepada pembayar duti untuk memahami prosedur yang ditetapkan serta melaksanakan penyeteman sendiri secara elektronik dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, konsesi khas tersebut turut terpakai bagi sebarang kesalahan di bawah subseksyen 72D(2) Akta Setem 1949 yang dikenal pasti melalui penemuan audit sepanjang tempoh konsesi berkenaan.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan STSDS, HASiL memaklumkan bahawa Sistem e-Duti Setem telah dibuka untuk akses awal kepada pembayar duti menerusi portal MyTax, bagi membolehkan pengujian sistem serta persediaan awal dibuat sebelum pelaksanaan sepenuhnya tahun hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×