KOTA KINABALU: Persidangan tahunan beberapa Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah sebulat suara menyokong usul mengehadkan jawatan Ketua Menteri tidak melebihi dua penggal.
Pembaharuan sistem politik ini akan membolehkan Ketua Menteri dan seluruh anggota kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pembangunan negeri selaras dengan aspirasi rakyat.
Usaha ini akan membantu membentuk sebuah institusi pentadbiran yang mendukung pembaharuan, menerapkan amal tadbir urus yang baik dan telus serta meningkatkan keberkesanan proses semak dan imbang dalam kerajaan.
Dalam satu kenyataan semalam, Bersatu memaklumkan pembaharuan itu selaras dengan usaha mengukuhkan perpaduan dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Usul mengenai jawatan Ketua Menteri ini antara enam usul yang dibangkitkan dalam persidangan tahunan Bersatu Sabah.
“Antara usul yang dicadangkan adalah mendukung kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mengemudi Bersatu di peringkat persekutuan dan negeri Sabah.
“Usul lain termasuk mendukung kepimpinan Ketua Menteri serta aspirasi dan objektif yang telah digariskan dalam konsep Sabah Maju Jaya untuk membina negeri dan masyarakat yang bersatu padu, aman, makmur dan sejahtera; mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; merangsang pemulihan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat dan membangunkan modal insan.
“Barisan perwakilan turut menyokong penuh segala usaha dan inisiatif yang digerakkan oleh kepimpinan parti komponen GRS untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komponen GRS yang terbina sejak Memorandum Persefahaman (MoU) GRS dimeterai pada 9 Januari lalu,” kata kenyataan berkenaan.
Di samping itu, Bersatu Sabah turut mengesyorkan Kerajaan Pusat menyempurnakan segera segala kepentingan dan hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ia adalah selari dengan Aku Janji Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah iaitu memelihara dan memperjuangkan hak-hak negeri Sabah berlandaskan MA63.
Dalam pada itu, Bersatu Sabah juga berharap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi pertimbangan khusus kepada Sabah terutama dalam aspek pembangunan prasarana, pendidikan dan perumahan rakyat.
Bahagian-Bahagian Bersatu yang bersidang semalam ialah Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau.-UTUSAN ONLINE