PUTRAJAYA: Kerajaan disyorkan supaya memberi potongan cukai khas kepada ahli keluarga yang menjaga anak-anak yatim.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ini termasuk bantuan khas turut diberikan kepada keluarga yang menjaga mereka bagi meringankan beban.
Beliau berkata, penjagaan oleh wali seperti datuk dan bapa saudara atau keluarga terdekat lebih berkesan kerana melibatkan kestabilan emosi, psikologi, pendidikan, persekitaran keluarga dan kasih sayang di dalam kitaran kehidupan anak-anak yatim tersebut.
“Dalam Islam, anak-anak yatim perlu menjadi tanggungjawab wali mereka selepas kematian ibu bapa iaitu datuk, bapa saudara, adik beradik dan seterusnya.
“Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan dapat menyediakan potongan cukai khas kepada ahli keluarga yang menjaga anak-anak yatim ini di samping bantuan khas kepada keluarga yang menjaga anak-anak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam Bajet 2022, kerajaan menyediakan sebanyak RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak yatim yang ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.
Sehingga kini, lebih 4,700 anak yatim kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Khairuddin berkata, selain itu, rumah kebajikan untuk anak yatim juga wajar diberikan peruntukan khas apabila mereka mengambil anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan bagi anak yang kehilangan ibu supaya kerajaan menyediakan bantuan PRIHATIN yang sesuai untuk bapa mereka mencari pasangan baharu supaya boleh membantu mereka menjaga anak-anak.
“Malah dana khas juga perlu diberikan kepada ibu-ibu yang sudi menjaga anak suami mereka atau anak tiri seperti anak sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE