BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan digesa melihat isu kekurangan dana yang dihadapi sesetengah negeri untuk menjalankan sebarang projek sehingga memaksa khazanah alam seperti laut terpaksa dijadikan korban.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, perkara itu perlu dilihat secara lebih holistik terutama ketika era pasca pandemik Covid-19 yang mana banyak negeri mengalami kekurangan dana atau pendapatan yang drastik.
Dalam masa sama menurut beliau, semua pihak juga perlu berfikir ‘di luar kotak’ bagi memastikan khazanah alam sedia ada terus terpelihara seperti di Pulau Pinang yang terkenal sebagai negeri dengan hasil laut yang bernilai.
“Kita perlu menggunakan segala kepakaran dan mengambil kira pandangan yang pelbagai dalam mencapai hasrat untuk terus memacu pembangunan industri di Pulau Pinang.
“Saya tak nafikan (projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang atau PSR bermanfaat) dan sekali lagi saya nyatakan, saya bawa juga perkara ni ke peringkat Pusat kerana alasan awalnya ialah tiada dana memadai dan apabila ia ditolak melalui rayuan, itu membangkitkan persoalan dan kebimbangan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Karnival Jom Kerja Penanti 2021 dan Perasmian Pusat Belia Penanti di Dewan Serbaguna Taman Guar Perahu, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam memberitahu, kerajaan negeri secara dasarnya tidak akan menghadapi implikasi kewangan yang berat sekiranya pelaksanaan projek PSR itu tertangguh atau terbatal.
Beliau bagaimanapun berkata, kesan kehilangan projek tersebut terhadap ekonomi negeri adalah sangat besar untuk jangka masa panjang seperti berdepan kesukaran untuk menarik pelabur asing dan sebagainya.
Mengulas lanjut kata Nurul Izzah, isu berkenaan sebenarnya telah dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kira-kira dua minggu lalu.
“Saya bangkitkan isu ini kerana had kepada kuasa negeri untuk mendapatkan hasil ini melibatkan banyak negeri termasuk Melaka dan Pahang. Jadi, mereka telah mengguna pakai sumber alam untuk mendapatkan dana (bagi menjayakan projek tambakan tanah),” katanya. – UTUSAN