MERSING: Seramai 5,900 sukarelawan pasukan tindak balas kecemasan pertahanan awam (CDERT) dari 162 parlimen seluruh negara bersiap sedia untuk digerakkan bagi memberi bantuan awal bencana banjir sepanjang musim monsun timur laut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, kesemua mereka boleh digerakkan dalam membantu berhadapan dengan bencana sepanjang monsun itu yang kini telah bermula hingga Mac tahun depan.
“Berdasarkan keadaaan lalu, November hingga Januari merupakan fasa kritikal bagi fenomena ini. Oleh itu bagi kawasan parlimen yang sudah tubuhkan CDERT akan boleh digerakkan semasa bencana ini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran CDERT Keluarga Malaysia Parlimen Mersing di Politeknik Mersing, hari ini. – UTUSAN ONLINE