IPOH: Polis melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM58 juta membabitkan 4,991 kertas siasatan sejak 1988 hingga kini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai berkata, pelupusan itu membabitkan dadah seberat 1,561.4 kilogram, daun ketum (2,773.7kg) dan 1.7 juta liter cecair ketum serta ubat batuk.
Katanya, kesemua eksibit yang merupakan rampasan narkotik dari 15 daerah itu dilupuskan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
“Kesemua eksibit ini adalah hasil daripada serbuan dan rampasan yang dilakukan serta telah selesai perbicaraan di mahkamah.
“Antara dadah yang dilupuskan ialah 413,602.99 gram heroin, ganja (699.984.08g), syabu (34,451.64 gram), ketamin (1,276 gram), estacy atau yaba (21.86 gram), pil khayal (0.41 gram) dan eramin 5 (57.05 gram).
“Turut dilupuskan daun ketum seberat 2,773.70 kg, cecair ketum (1.7 juta liter), ubat batuk (43,517.34 mililiter), monoacetylmorphine (392.76 gram), heroin monoacetylmorphine (39.68 gram) dan lain-lain dadah (411,581.26 gram),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Menurut Mazlan, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, seramai 1,752 orang diambil tindakan kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Katanya, bagi tempoh sama juga, seramai 3,721 orang dikenakan tindakan kerana memiliki dadah manakala 1,598 orang pula positif dadah.
“Bagi tempoh Januari hingga September lalu, sebanyak 3,777 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,543 kertas siasatan dituduh iaitu pencapaian sebanyak 94 peratus,” katanya. – UTUSAN ONLINE










