PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan bantuan kewangan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada Syarikat Malaysia My Second Home (MM2H) yang berlesen.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan akbar memaklumkan, langkah tersebut bagi mengambil kira Syarikat MM2H yang mempunyai lesen inbound di bawah MOTAC yang turut terjejas semasa pandemik Covid-19.
“Bantuan kewangan ini adalah merupakan bantuan kali kedua kepada Syarikat MM2H menerusi Inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) telah memberikan bantuan kewangan RM3,000 kepada syarikat MM2H yang layak.
“Sehubungan itu, kementerian menyeru Syarikat MM2H berlesen di bawah MOTAC yang tidak pernah menerima bantuan kewangan di bawah inisiatif PEMERKASA untuk mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan kepada pihak kementerian,” katanya di sini hari ini.
Maklumat lanjut mengenai Syarat Kelayakan PEMULIH bagi Syarikat MM2H yang berlesen di bawah MOTAC boleh diperolehi menerusi laman web rasmi MOTAC di http://motac.gov.my/pemulihmotac2021_mm2h atau menghubungi Pejabat MOTAC Negeri berdekatan.
“Tarikh tutup permohonan adalah pada 10 November dan sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan,” ujarnya.
Menerusi PEMULIH, beberapa inisiatif telah dilancarkan bagi membantu sektor pelancongan yang merupakan antara segmen sangat terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19.
Salah satu inisiatif berkenaan adalah bantuan kewangan berjumlah RM3,000 kepada Syarikat MM2H yang berlesen di bawah MOTAC sebagai pendorong kepada mereka yang terkesan dengan pandemik tersebut. -UTUSAN ONLINE










