PETALING JAYA : Kerajaan sudah merangka usaha penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong di dalam memastikan peningkatan harga barangan keperluan asas dapat distabilkan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dalam kenyataan memaklumkan, satu perbincangan telah diadakan bersama pihaknya dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Kewangan serta pihak berkepentingan berhubung perkara itu.
Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam sesi temuramah program Ruang Bicara: Aspirasi Keluarga Malaysia disiarkan di Bernama semalam.
“Beliau berkata susulan perbincangan telah diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan serta pihak berkepentingan berkaitan isu kenaikan harga barangan seperti sayur, ayam dan telur.
“Usaha penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong sudah dirangka,” kata kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, fokus pihaknya kini adalah untuk memastikan harga barangan keperluan asas yang ketika ini mencatatkan peningkatan, dapat distabilkan menerusi mekanisme tertentu.
Dalam perkembangan lain, kementerian memaklumkan penurunan harga kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 merupakan antara tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan oleh pihaknya kini sudah melakar pencapaian 100 peratus.
Menurut kenyataan itu, harga RTK antigen telah merekodkan penurunan dua kali dalam tempoh kurang dua bulan, sejak harga siling dikuatkuasakan pada September lalu.
“Kini, RTK antigen boleh didapati di premis peruncitan pada harga serendah RM4.90, iaitu pengurangan sebanyak 87.7 peratus berbanding harga asal iaitu RM39.90, ketika peranti ini mula dijual di pasaran.
“Susulan impak faktor persaingan, lambakan RTK antigen yang dijual di pasaran sehingga menjangkau 83 jenama dan pengeluar berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) setakat 24 November, maka kementerian mengambil pendirian bahawa tiada keperluan untuk menetapkan harga siling bagi peranti ini,” kata kenyataan sama lagi.
Jelas kenyataan sama, keputusan itu bukan langkah patah balik, sebaliknya apabila Kementerian Kesihatan menerusi MDA dan pihaknya merintis kerjasama, banyak syarikat pengimport alat ujian ini membawa bekalan masuk sekali gus memberi pilihan yang amat meluas kepada pengguna.
“Perkara berkaitan secara tidak langsung dapat meningkatkan persaingan dan akhirnya mencetuskan kesan domino yang menyaksikan harga RTK antigen mampu dikurangkan sehingga ke paras harga mampu milik.
“Asas lain di sebalik keputusan ini ialah sekiranya harga siling masih terus ditetapkan, ia dikhuatiri mengundang manipulasi di peringkat pengedaran dan penjualan kepada pengguna. Berkemungkinan, premis atau pihak yang menjual di bawah paras harga siling, boleh mengambil keputusan untuk menaikkan harga, memandangkan masih ada margin harga jualan untuk mereka berbuat demikian.
“Oleh itu, bersandarkan persaingan hebat ketika ini antara pembekal RTK antigen di pasaran, pihak kementerian menaruh kepercayaan bahawa mereka akan terus menurunkan harga yang ditawarkan kepada pengguna. Namun kementerian akan terus memantau perkara ini secara berkala,” jelas kementerian.
Selain penurunan harga ujian kit sendiri, dua pencapaian lain adalah berkaitan Sarawak iaitu pengecualian menggunakan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961 masing-masing di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan dan memastikan kemampanan industri francais.-ONLINE DONE