KOTA BHARU: Gengster tempatan digelar ‘Ayahanda’ dikatakan membantu melancarkan kegiatan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long masuk ke kampung-kampung di negeri ini bagi memburu peminjam.
Golongan berusia lingkungan 30 tahun hingga 50 tahun itu bukan sahaja menjadi ‘pelindung’ kepada ah long, malah didakwa berkhidmat kepada sindiket dari luar Kelantan dengan cara menakut-nakutkan mangsa.
Difahamkan, antara tugas Ayahanda di kawasan masing-masing adalah mengugut merosakkan harta dan menyimbah cat, mengancam keselamatan serta memastikan hidup peminjam dan seluruh ahli keluarga mangsa kacau-bilau.
Tidak tahan diganggu, rata-rata mangsa membuat laporan polis termasuk memaklumkan nombor telefon dan plat pendaftaran kenderaan dinaiki individu yang mengugut mereka, namun kumpulan tersebut seolah-olah kebal apabila masih datang membuat kacau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohd. Fauzi berkata, kebelakangan ini, aduan seumpama itu semakin kerap diterima pihaknya daripada mangsa dari negeri ini.
“Berdasarkan maklumat, ah long sudah berani datang terus ke rumah peminjam atau keluarga mereka di Kelantan kerana mereka ditemani Ayahanda kawasan dan perkara ini tidak berlaku di ibu negara atau bandar-bandar besar lain.
“Ada mangsa hidup dalam ketakutan kerana masih diugut walaupun sudah menjelaskan pinjaman dalam masa ditetapkan. Ah long terbabit tetap datang ke rumah menuntut bayaran baki bunga yang kononnya masih lagi tertunggak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, peniaga produk sejuk beku yang hanya mahu dikenali sebagai Sha, 30, berkata, dia membuat pinjaman wang daripada ah long sebanyak RM200 pada minggu lalu untuk dijadikan modal pusingan berniaga.
Katanya, mengikut perjanjian dengan ah long tersebut, bayaran semula termasuk bunga yang berjumlah RM300 perlu diselesaikan dalam masa tiga hari.
“Akibat gagal bayar dalam tempoh itu, satu kertas dengan tulisan ‘bayar hutang dan last warning’ ditampal di pintu rumah sewa saya di Pasir Tumboh, dua hari lalu. Saya segera buat bayaran sebanyak dua kali, masing-masing RM150.
“Tetapi lewat malam kelmarin, ada bunyi bising di luar rumah dan esok paginya, saya dapati pintu rumah kami telah dicungkil tanpa sebab. Kerana bimbang keselamatan diri dan rakan serumah, saya segera buat laporan polis semalam<‘ katanya.
Seorang warga emas mahu dikenali Che Ma, 64, pula berkata, anak lelakinya berumur 24 tahun memohon pinjaman RM300 untuk modal berniaga, namun hanya diberikan RM150 oleh ah long terbabit pada Julai lalu.
“Kerana lewat bayar, ah long dakwa hutang anak saya berjumlah RM4,800. Mahu tak mahu, dia membayar RM2,000 serta menganggap masalah itu sudah selesai tetapi selepas sebulan, ah long itu tuntut bayaran sebanyak RM24,000 pula. Anak saya tidak mengendahkannya lalu sekat nombor telefon dia.
“Dua minggu lalu, ada orang datang simbah cat sebanyak dua kali sambil ugut mahu bakar rumah dan rosakkan harta kami,” katanya yang segera membuat laporan kejadian itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah. – UTUSAN ONLINE











