Aplikasi MyLogistik peta maya fasiliti jaringan pengangkutan - Utusan Malaysia

Aplikasi MyLogistik peta maya fasiliti jaringan pengangkutan

WEE Ka Siong melancarkan aplikasi MyLogistik di Putrajaya hari ini .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Pusat Geospatial Negara (PGN) baru-baru ini berjaya membangunkan Aplikasi MyLogistik iaitu peta maya yang mengandungi Peta Geospatial Fasiliti Logistik dan Jaringan Pengangkutan.

MyLogistik mengandungi semua maklumat lokasi infrastruktur logistik merangkumi gudang, off-dock depot, stesen penguat kuasa, lapangan terbang, pelabuhan persekutuan, stesen keretapi, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (CIQS), jeti serta jaringan landasan keretapi dan jalan raya. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, aplikasi MyLogistik berfungsi sebagai pangkalan data geospatial yang dapat dijadikan sumber maklumat bersepadu bagi mencapai pembangunan infrastruktur dan jaringan logistik lebih terancang, menyeluruh serta efisien.

“Aplikasi MyLogistik ini dapat membantu pemain industri logistik dalam merancang pergerakan barangan yang paling efisien dengan mengambil kira infrastruktur dan ketersambungan yang ada. 

“MyLogistik juga akan memberi manfaat kepada agensi kerajaan yang berperanan sebagai penggubal dasar dalam memastikan sektor logistik dapat berkembang maju dan kekal berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap penghasilan MyLogistik dapat merealisasikan aspirasi negara dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan dan logistik yang dikenal pasti sebagai salah satu pemboleh daya utama kepada pembangunan sosioekonomi melalui Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF).

Selain PGN, Pembangunan MyLogistik juga melibatkan kerjasama daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Pembangunan aplikasi MyLogistik selaras dengan peranan sektor logistik yang merupakan tulang belakang dalam rantaian bekalan kepada semua sektor ekonomi.-UTUSAN ONLINE 

Aplikasi MyLogistik boleh dicapai di laman sesawang https://mygos.mygeoportal.gov.my/mot. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN