Apa status terkini pembangunan semula Medan Selera Mutiara di Tanjung Bungah? - Utusan Malaysia

Apa status terkini pembangunan semula Medan Selera Mutiara di Tanjung Bungah?

HNG CHEE Wey (kiri) ketika meninjau tapak asal Medan Selera Mutiara di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang musnah dalam kebakaran tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hampir setahun berlalu selepas kejadian kebakaran yang memusnahkan Medan Selera Mutiara di Tanjung Bungah di sini, namun sehingga kini Parti Gerakan negeri mendakwa masih tiada perkembangan terkini mengenai status pembangunan semula medan selera berkenaan. 

Setiausaha Gerakan negeri, Hng Chee Wey berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan medan selera itu akan dibangunkan semula dan dijangka dapat beroperasi awal tahun depan. 

Bagaimanapun katanya, keadaan di medan selera itu masih sama selepas kejadian kebakaran dan seolah-olah tiada apa-apa perancangan dibuat untuk membangunkan semula kawasan itu. 

“Kita boleh lihat sendiri tiada apa-apa kerja pembangunan semula dibuat di tapak asal medan selera ini. 

“Kalau ada kerja-kerja pembangunan, mesti tapak asal akan dibersihkan, namun sehingga kini lokasi ini masih dipenuhi sisa kebakaran tahun lalu,” katanya ketika ditemui di tapak Medan Selera Mutiara, Tanjung Bungah, di sini hari ini. 

Dalam kejadian 7 November tahun lalu, medan selera itu yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pelancong hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran, namun tiada mangsa terlibat. 

Susulan kejadian itu, kerajaan negeri mengumumkan Medan Selera Mutiara Tanjung Bungah akan dibina semula dengan kos bernilai RM3.49 juta. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari sebelum ini berkata, projek itu dijangka bermula Julai ini dan siap akhir tahun ini. 

Menurut Chee Wey, pihaknya menuntut penjelasan segera daripada kerajaan negeri berhubung isu berkenaan kerana melibatkan periuk nasi lebih 30 penjaja asal di medan selera itu. 

“Perkara ini amat membimbangkan para penjaja asal di medan selera ini kerana mereka telah lama menunggu untuk kembali berniaga di sini. 

“Mereka juga telah ditamatkan lesen untuk berniaga di situ selepas kebakaran berlaku, jadi mereka bimbang sekiranya tidak berjaya mendapat lesen untuk berniaga di medan baharu nanti,” katanya. 

Dalam pada itu, Zairil Khir berkata, projek pembangunan semula Medan Selera Mutiara Tanjung Bungah itu berjalan seperti perancangan yang mana kerajaan negeri telah mengiklankan tender serta melantik kontraktor untuk melaksanakan projek itu. 

“Majlis pecah tanah pembangunan semula medan selera ini akan dijalankan pada Sabtu ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN