Anggap kecaman sebagai cabaran - Achik Roslan - Utusan Malaysia

Anggap kecaman sebagai cabaran – Achik Roslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meskipun pernah menerima komen negatif dan kecaman daripada netizen, ia tidak langsung mematahkan semangat Achik Roslan untuk menjadi penyanyi terkemuka.

“Pernah ada netizen yang kata suara saya ke laut, tak sedap dan tak layak menyanyi. Tetapi saya hanya menganggap komen itu datangnya daripada keyboard warrior sahaja.

“Saya anggap kecaman-kecaman itu sebagai satu cabaran untuk terus maju dalam industri ini. Memang tidak mudah memuaskan hati semua netizen terutamanya yang suka membandingkan setiap penyanyi yang ada,” katanya kepada Pancaindera.

Bercakap mengenai perjalanannya dalam industri muzik, Achik atau nama sebenarnya Muhammad Zakir Roslan adalah pengganti vokalis kumpulan Ukays.

Dia pernah mendendangkan lagu berjudul Terpaksa Ku Lepaskan, Terseksa, Hadirlah Kasih, dan I Love You I Miss You bersama kumpulan tersebut. Sejak itu, dia aktif dan banyak terlibat membuat cover lagu di YouTube.

Selepas penglibatannya dengan kumpulan Ukays, baru-baru ini, dia tampil dengan single baharu berjudul Hanya Doa ciptaan Awang BPR dan terbitan syarikat rakaman Luncai Emas.

“Lagu tersebut mengisahkan tentang pelbagai dugaan yang dihadapi oleh seorang bapa untuk membe­sarkan anak-anak bagi memastikan mereka semua menjadi manusia yang berjaya.

“Tanpa mementingkan diri, seorang ayah bekerja keras tanpa mengira penat lelah demi mencari wang ringgit untuk memastikan anak-anaknya dapat mencapai cita-cita mereka.

“Namun, apabila anak-anak sudah besar dan berjaya, mereka memilih untuk menempatkan ayah yang sudah tua dan tidak bermaya di rumah orang tua. Setiap saat si bapa itu berdoa untuk dapat bertemu dengan anak-anaknya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir,” jelas Achik.

Lagu tersebut boleh didengari di semua platform digital serta YouTube Luncai Emas.

Di masa hadapan, Achik merancang untuk mengeluarkan single kedua selain ingin membuka sebuah restoran atau kafe.

“Saya harap orang ramai akan mendoakan keja­yaan saya da­lam industri ini dan sentiasa menyokong karier seni saya.

“Tak rugi kalau kita menyokong sesama kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN