SEPARUH Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2021 menutup tirainya pada 20 November lalu. Sebanyak 12 lagu yang layak ke pertandingan akhir juga selesai diumumkan. Dalam dua sesi separuh akhir yang berlangsung, ALI2021 berjaya meningkatkan kualiti penerbitannya dengan hanya beberapa masalah teknikal timbul sepanjang siaran langsung.
Daripada 12 lagu yang layak ke peringkat akhir, 10 daripadanya merupakan peserta separuh akhir kedua. Ini tidak menghairankan melihat kepada kualiti persembahan yang ditampilkan pada separuh akhir tersebut. Boleh dikatakan, separuh akhir kedua sangat kompetitif berbanding yang pertama.
Tebus maruah
Tiga penyanyi wanita yang tampil buat kali kedua dalam ALI iaitu Heidi Moru, Ainina Hasnul dan Leaism tampil lebih menyerlah tahun ini.
Leaism gagal ke peringkat akhir tahun lalu tetapi tahun ini bukan sahaja layak, lagu nyanyiannya bersama BER_ diangkat sebagai Lagu Terbaik separuh akhir pertama.
Pemenang tempat ketiga tahun lalu, Ainina Hasnul pula tampil bersama Eidi Teman Lelaki tahun ini dengan lagu Tentang Siang, Malam dan Romantis.
Menjadi antara kegemaran ramai, peranan Ainina lebih dominan dalam lagu tersebut dan persembahannya pada separuh akhir berjaya memperlihatkan kemampuannya sebagai vokalis pop wanita yang perlu diberi perhatian ramai.
Heidi Moru lebih cemerlang. Mara ke peringkat akhir dengan lagu duet bersama Hasha Roslan tahun lalu, Heidi menjadi satu-satunya penyanyi yang mara ke akhir dengan dua lagu. Kali ini, penyanyi dari Sabah itu tampil dengan nyanyian solo diiringi dua kugiran, iaitu Ruang Hati dan KidiDaNoto.
Tak layak tapi curi perhatian
Dalam 18 lagu yang gagal ke peringkat akhir, bukan semuanya gagal menarik perhatian peminat. Selain Ramayan, Patriots dan Lawalah Familia yang memang sudah menempa nama dalam lapangan masing-masing, beberapa nama yang kurang dikenali sebelum ini patut diberi perhatian lebih.
Antaranya ialah gandingan LastKhalif, MB Nikz dan Killa Driz yang tampil dengan lagu Shutdown. LastKhalif berjaya menampilkan diri sebagai pencipta rentak yang berpotensi tinggi dan MB Nikz, terutamanya, mempunyai suara yang unik untuk seorang penyanyi rap.
Wanted Symphony menyampaikan antara persembahan terbaik pada separuh akhir pertama. Kugiran ini mempunyai cita rasa pop yang berkualiti dari segi penciptaan lagu dan mampu memberikan persembahan pentas yang meyakinkan.
Brendan De Cruz berjaya menarik perhatian dengan persembahan akustik yang cukup rasa dan berkesan manakala Banni Basyishar bersama Aini Mazalan serta Steff Fleur pula menawarkan nuansa segar dalam pasaran pop tempatan.
Lima persembahan terbaik pilihan Utusan Malaysia
1 RUNS – Kamar
Ini mungkin kontroversi tetapi penilaian ini saya buat dengan akal yang sedar dan hati yang jujur. Mungkin bukan yang paling rancak dibualkan tetapi impak persembahan RUNS mengatasi semua persembahan sepanjang separuh akhir ALI2021. Dinamik yang sempurna dan kemampuan mereka menyebarkan getar ke seluruh ruang acara meletakkan RUNS di hadapan peserta lain. Keaslian kugiran ini juga sukar dipertikai. Walaupun membawakan muzik yang pernah popular suatu ketika dahulu, RUNS menyampaikannya dengan cara dan sikap yang tersendiri. Karakter vokal Hawari sangat menyerlah dan kawalannya juga baik. Dengan persembahan sebegini, mereka mampu menghiburkan ruang sebesar stadium.
2 Arunboii – Enge Port
Persembahan dengan impak paling rancak sepanjang separuh akhir ALI2021. Momentum populariti Enge Port bermula dengan statusnya sebagai lagu bahasa Tamil pertama yang layak ke separuh akhir ALI. Namun, tidak hanya bergantung kepada faktor itu, Arunboii menyampaikan persembahan yang sangat baik. Gubahan lagu dengan memasukkan elemen rock menjadikan persembahan mereka lebih menyerlah. Selain kehebatan Arunboii menyanyi rap dengan sangat laju, persembahan kugiran iringannya juga perlu diberi tabik. Dengan tiga instrumen dan bantuan sedikit muzik latar, permainan mereka sangat mampat.
3 Nusarasa – Jauh
Nusarasa ialah contoh kugiran yang mampu membawa muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi. Kelebihan utama mereka ialah penguasaan asas muzik yang sudah lengkap hasil pengalaman luas setiap anggotanya. Apabila hal itu sudah beres, mereka boleh fokus kepada hal lain seperti penyampaian emosi dan tambahan perasa dalam persembahan. Beban emosi dalam Jauh berjaya disampaikan dengan baik, terutamanya dengan kawalan vokal Fidi yang cemerlang. Apa yang mereka perlukan pada peringkat akhir ialah tambahan elemen untuk menyampaikan emosi lagu dengan lebih berkesan.
4 Late Night Frequency – Fun Lust Love
Persembahan Late Night Frequency lengkap dari segenap segi. Apa yang mereka lakukan ialah contoh terbaik bagaimana persembahan pentas dapat menyerlahkan kekuatan lagu. Kualiti Fun Lust Love meningkat bertakuk-takuk melalui persembahan itu. Kostum yang menarik, permainan muzik dengan kesilapan minimum dan tambahan instrumen saksofon yang nakal menjadikan persembahan Late Night Frequency yang paling segar untuk keseluruhan separuh akhir ALI2021.
5 Rina-Hime – All Over Again
Bukan mudah untuk penyanyi wanita membawakan lagu diiringi muzik berat tetapi Rina-Hime membuktikan kemampuan vokalnya berada pada tahap itu. Tidak bergantung kepada keunikan bahasa semata-mata, seluruh pasukan yang menyampaikan All Over Again berjaya melunaskan tanggungjawab dengan baik. Saya membayangkan persembahan yang lebih cemerlang pada peringkat akhir dengan bantuan permainan visual serta kostum yang lebih lengkap.









