SEREMBAN: Hasrat seorang akauntan untuk menambah pendapatan berakhir kecewa apabila dia mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas menjadi mangsa iklan tawaran kerja palsu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa seorang lelaki berusia 28 tahun pada mulanya melayari Facebook pada 29 Oktober lalu.
Dia kemudian berurusan dengan individu bernama Wong Yu Han menerusi nombor telefon 017-6483646 berkenaan kerja sambilan sebagai penyelia syarikat jualan dalam talian terkemuka.
Menurutnya, mangsa telah diberi pautan untuk membuat promosi barang dan juga nombor telefon khidmat pelanggan iaitu 017-5205815 untuk urusan mendapatkan pekerjaan.
“Mangsa telah menghubungi nombor yang diberikan dan diminta untuk memasukkan wang bagi urusan pendaftaran sebagai pekerja serta untuk tujuan mendapatkan komisen.
“Mangsa telah diminta untuk memasukkan wang mengikut barang yang akan dipesan oleh pihak syarikat jualan dalam talian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata, dari 29 Oktober sehingga semalam, mangsa telah melakukan 12 transaksi ke tiga akaun dengan jumlah pemindahan wang sebanyak RM67,069.
Menurutnya, mangsa dimaklumkan oleh penawar kerja untuk dia menyelesaikan baki lima peratus pembayaran lagi untuk urusan pekerjaan tersebut.
“Sehingga kini mangsa masih tidak menerima reson untuk urusan pekerjaan dan telah membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










