Air pasang besar: Jalan utama Tanjong Karang tenggelam - Utusan Malaysia

Air pasang besar: Jalan utama Tanjong Karang tenggelam

YIN Lei Hing menunggang motosikal bersama suaminya, Lee Chai melihat keadaan jalan utama yang dinaiki air apabila air laut dari Sungai Tengi di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor melimpah, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD ATHIR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pekan Tanjong Karang di sini tidak terkecuali daripada terkesan dengan fenomena air laut pasang besar yang melanda sejak kelmarin apabila berlaku limpahan air dekat kawasan berhampiran Hospital Tanjong Karang.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia hari ini, Jalan Kuala Selangor – Teluk Intan dilimpahi banjir lebih dua kaki apabila air dari Sungai Tengi melimpah akibat laut pasang besar yang berlaku sejak pukul 5.30 pagi tadi.

Keadaan air dikatakan mencapai tahap tertinggi kira-kira pukul 6.30 pagi menyebabkan penduduk yang keluar bekerja terpaksa meredah banjir untuk keluar atau masuk ke pekan Tanjong Karang dari arah Kuala Selangor.

Malah, terdapat sebuah kereta dan motosikal terhenti di tengah jalan akibat mengalami kerosakan ketika meredah air masin yang membanjiri jalan utama itu sebelum kembali surut kira-kira pukul 7.30 pagi.

Seorang penduduk tempatan, Yin Lei Hing, 62, berkata, banjir  melanda sejak awal pagi kelmarin apabila paras air laut pasang pada ketinggian melebihi lima meter yang menyebabkan jalan utama dan kawasan rendah ditenggelami air.

“Bila berlaku air pasang besar, memang kebanyakan jalan dalam kawasan pekan akan banjir dan pada tahun ini seingat saya, bulan lepas adalah kali pertama apabila tiga hari berturut-turut banjir berlaku.

“Kali ini, banjir akibat air pasang berlaku sejak kelmarin dan hari ini lepas saya tengok keadaan dekat pekan boleh dikatakan air naik paling tinggi berbanding sebelum ini. Tetapi ada kawan-kawan beritahu fenomena ini akan reda mulai esok,” katanya yang tinggal di Jalan Malinja.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal, Samad Saidin, 35, yang melalui jalan utama pada awal pagi tadi memberitahu, mujur kejadian air pasang ini tidak berlaku sekali dengan hujan lebat dan ribut.

“Saya dari Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan ke Sabak Bernam, ketika saya lalu di Bandar Kuala Selangor tadi, air pasang sudah pun melimpahi kawasan selepas jambatan berhampiran sebuah pasar raya besar.

“Bagaimanapun, alhamdulillah, cuaca baik. Kalau berlaku hujan lebat dan angin kuat, pasti akan menenggelamkan lebih banyak kawasan terutama di pekan Tanjong Karang dan Bandar Kuala Selangor yang banjir sejak pukul 6.30 pagi tadi yang terletak berhampiran sungai dan laut,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan fenomena air laut pasang besar melanda Pantai Barat Semenanjung membabitkan enam negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor.

Fenomena itu berlaku sejak 4 Oktober lalu dan diramalkan berlarutan sehingga 7 Oktober dan air pasang dijangka mencecah paras sehingga 5.6 meter. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.