KLANG: Seorang pemberi pinjaman wang atau ah long maut ditetak selepas makan bersama anaknya di sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi di sini, tengah hari tadi.
Kejadian pukul 12.20 tengah hari itu berlaku ketika lelaki 47 tahun berkenaan menuju ke keretanya di kawasan premis tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun datang ke restoran tersebut pada pukul 11.50 pagi.
Katanya, sejurus selesai makan, tiga beranak itu berjalan kaki ke arah kereta Toyota Vellfire yang berada kira-kira 30 meter dari premis berkenaan.
“Sewaktu mangsa mahu membuka pintu kereta itu, dia bagaimanapun didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan parang.
“Dua daripada mereka bertindak menetak mangsa yang kemudian melarikan diri dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Shamsul Amar, semakan pihaknya mendapati mangsa memiliki tujuh rekod jenayah lampau.
“Mangsa bekerja sebagai pemberi pinjaman wang (along) yang mempunyai pejabat di kawasan Bukit Tinggi, Shah Alam dan Kajang.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati empat suspek disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
“Mereka termasuk seorang pemandu yang dipercayai menunggu dalam kereta di tepi jalan berkenaan. Usaha mengesan suspek masih berterusan dan giat dijalankan setakat ini,” katanya. – UTUSAN