Aduan gangguan kera, babi paling tinggi diterima Jabatan Perhilitan - Utusan Malaysia

Aduan gangguan kera, babi paling tinggi diterima Jabatan Perhilitan

AMINUDDIN Harun menunjukkan perangkap bagi kera dan babi yang diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan di Seremban. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kes gangguan haiwan liar melibatkan babi dan kera merupakan aduan tertinggi yang diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sepanjang tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya memandang serius masalah itu kerana kehadiran haiwan berkenaan turut mengancam keselamatan orang awam.

“Di Negeri Sembilan sebahagian besar kawasannya adalah pertanian dan banyak aduan diterima daripada pengusaha dan petani.

“Ia menyebabkan kerugian kepada mereka terutama pada musim buah-buahan sedangkan kos untuk memulakan operasi yang terpaksa mereka tanggung adalah tinggi malah sebelum ini ada juga kes kanak-kanak yang dicederakan kera,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli.

Menurut Aminuddin, difahamkan masalah gangguan haiwan terbabit turut berlaku di taman-taman perumahan di kawasan bandar. 

Terdahulu, Aminuddin membuat penyerahan sebanyak 15 unit perangkap besar primat bagi kera dan 24 unit perangkap babi hutan dengan nilai keseluruhan RM120,000 yang merupakan peruntukan daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, pejabat Perhilitan daerah Seremban, Bandar Seri Jempol dan Gemas akan menerima lima unit perangkap besar primat dan lapan unit perangkap babi hutan.

“Ikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Perhilitan haiwan yang telah ditangkap akan dilupuskan atau dipindahkan.

“Kita sedia maklum bukan mudah untuk menembak dan melupuskan haiwan tersebut dan buat masa ini penggunaan perangkap adalah langkah terbaik digunakan,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan perangkap juga dapat mengurangkan risiko kepada anggota Perhilitan.

“Orang ramai yang memerlukan khidmat tangkapan haiwan liar itu boleh menghubungi Jabatan Perhilitan untuk bantuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya