Celup-celup tepung Warung Pak Din One Dollar jadi bualan

Celup-celup tepung Warung Pak Din One Dollar jadi bualan

PAK Din menyusun makanan laut yang sedia digoreng bersama tepung mengikut permintaan pelanggannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI tengah-tengah suasana kampung yang tenang di Alor Setar terletak sebuah restoran yang mempunyai tarikan tersendiri dinamakan Warung Pak Din One Dollar.

Namanya sudah cukup unik, Warung Pak Din One Dollar mengambil sempena nama pemiliknya, Jamaluddin Ahmad, 73, atau Pak Din yang sudah berniaga makanan sejak 30 tahun lepas.

Perkataan One Dollar itu pula diambil sempena gelaran untuk pemilik restoran berkenaan yang pernah menjual makanan cuma dengan harga seringgit apabila mengambil alih perniagaan ini dari arwah bapanya setelah bersara dari tentera.

Hari ini Warung Pak Din One Dollar menjadi tarikan kerana makanannya pada harga berpatutan termasuk celup tepung yang sangat popular di pantai timur.

Restoran ini bukan sekadar menjadi tumpuan penduduk di negeri ini malah dari negeri lain yang sanggup datang jauh semata-mata untuk menikmati celup-celup tepung makanan laut yang segar itu.

 

Terdapat kira-kira 10 jenis makanan laut yang boleh dipilih pelanggan untuk digoreng mengikut permintaan mereka termasuk udang harimau, ketam, ikan kembung, ikan siakap, ikan bawal dan sotong.

“Setiap hidangan celup-celup tepung itu dihidangkan segar dan panas-panas bersama sos ala Thai dan sos manis buatan sendiri.

“Kami hanya akan menggoreng makanan laut itu setelah pelanggan memilih sendiri mengikut selera mereka,” kata Pak Din.

Rahsia celup tepung yang enak itu adalah kerana setiap bahan mentah disediakan setiap hari daripada pembekal dari Kuala Kedah dan setiap hari sebanyak 100 kilogram makanan laut diperlukan untuk menu tersebut.

Sesuai dengan namanya, harga makanan di Warung Pak Din One Dollar ini berpatutan dan tidak ‘menyakitkan dompet’ pelanggan.

Jadi, bukan menghairankan jika restoran yang terletak di tepi Sungai Anak Bukit ini jadi tarikan ramai.

Warung Pak Din One Dollar
Lokasi: Kampung Suka Menanti Alor Setar Kedah
Waktu operasi: 2.30 petang hingga 9.30 malam (Tutup Jumaat)

Menurut Pak Din, keinginannya hanya untuk memastikan semua golongan mampu menikmati makanan yang sedap di restoran berkenaan.

 

 

 

“Saya berniaga sejak 30 tahun lepas lagi, dulu jual makanan cuma seringgit sahaja sebab itu orang panggil saya Pak Din One Dollar.

“Tetapi kos bahan mentah tinggi sekarang jadi tidak mampu berbuat demikian. Bagaimanapun, saya akan pastikan harga makanan di sini berpatutan termasuk makanan laut.

“Ada pelanggan yang sanggup datang dari Ipoh, Perak semata-mata untuk makan celup-celup tepung ini kemudian balik,” katanya ketika ditemui di restoran tersebut, baru-baru ini.

Selain celup-celup tepung, Warung Pak Din One Dollar turut menyediakan lebih 50 menu lain termasuk laksa, mee kari, bakso, mee kuah udang yang popular di situ di samping pelbagai masakan Thai.

Menurut Pak Din yang mengusahakan perniagaan itu bersama anaknya, Faizal, 37, restoran tersebut turut menerima kunjungan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin baru-baru ini yang mencemar duli untuk menjamu selera di situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×