84 kes positif Covid-19 berkaitan Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

84 kes positif Covid-19 berkaitan Dewan Rakyat

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan 84 kes positif Covid-19 susulan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas Dewan Rakyat yang kini sedang berlangsung, sejak 27 Oktober hingga 23 Disember depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penemuan itu susulan saringan berkala sepanjang persidangan ini bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang serta mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Katanya, sebanyak18 kes telah dikenal pasti hasil saringan Pra-Persidangan Dewan
Rakyat pada 22 Oktober sehingga 25 Oktober 2021 manakala semua kes telah diasingkan dan hasil siasatan mendapati kes-kes tersebut tiada kaitan epidemiologi dan tiada kluster dilaporkan.

“Semasa persidangan Dewan Rakyat pula, 41 kes dilaporkan di antara 27 Oktober sehingga 28 November 2021 manakala 25 kes dikesan melalui saringan berkala pada 29 November 2021.

“Semua tindakan yang sewajarnya sudah dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan manakala kes yang dikenalpasti ini mempunyai kadar kebolehjangkitan
dengan nilai CT value atau nilai ambang RT PCR antara 13.70 hingga 36.11,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, pihaknya mendapati semua sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

Katanya, bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genom (genomic study) dan masih menunggu keputusan penuh.

“Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang melakukan siasatan dan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenalpasti punca jangkitan bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan segera selain aktiviti disinfeksi kawasan sekitar Parlimen.

“Status kesihatan semua kes positif Covid-19 dan kontak rapat serta kes baharu yang mungkin akan dilaporkan dalam tempoh inkubasi akan dipantau,” katanya.

Tambahnya, semua pihak yang hadir ke Parlimen terus memantau kesihatan kendiri
menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya bergejala, jangan hadir ke Parlimen, jalani ujian saringan Covid-19 dan segera dapatkan rawatan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya