SEREMBAN: Seramai 7,566 orang masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan yang berusia 18 tahun ke atas sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat 17 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, jumlah tersebut daripada 8,368 orang yang berusia 18 tahun ke atas dan daripada keseluruhan 14,206 orang masyarakat Orang Asli yang menetap di negeri ini.
“Sehingga 17 November lalu, seramai 7,644 orang Asli atau 91.35 peratus telah menerima dos pertama manakala 7,656 orang Asli atau 90.3 peratus telah menerima dos kedua,” katanyam pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14 di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Mohd. Razi Mohd. Ali (BN-Sungai Lui) yang ingin mengetahui perincian terkini masyarakat orang Asli yang telah divaksin.
Sementara itu, Veerapan berkata, pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan masyarakat orang Asli di negeri ini dapat menerima dos vaksin Covid-19 masing-masing.
“Antaranya adalah menjalankan kolaborasi bersama agensi termasuk pejabat daerah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat serta meningkatkan liputan jangkauan luar (outreach) ke penempatan Orang Asli.
“Di samping itu, kami juga memberi suntikan awal kepada tok batin bagi meningkatkan kepercayaan terhadap vaksin Covid-19 dan pemberian vaksin bagi orang Asli yang terlantar di rumah,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE










