KOTA KINABALU: Kira-kira 7,000 anggota Divisyen Kelima Infantri Sabah dijangka mula mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 pada masa terdekat ini.
Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Halim Khalid berkata, keutamaan pemberian dos penggalak adalah untuk anggota tentera sahaja dahulu.
Kemudian, jika ada arahan untuk keluarga dan petugas awam di markas perlu diberikan dos penggalak, itu akan dilaksanakan pada peringkat seterusnya.
“Pada masa ini kita telah mendapat arahan untuk memberikan dos penggalak iaitu vaksin dos ketiga kepada semua barisan hadapan atau warga tentera.
“Untuk itu, kita akan mulakan pemberian dos penggalak mungkin pada minggu hadapan dan kita harap dapat dihabiskan pemberian dos ketiga ini sebelum hujung November,” katanya dalam sidang akhar semasa Hari Bersama Media hari ini.
Mohd. Halim berkata, pemberian dos penggalak itu diharap dapat mempersiapkan anggota untuk melaksanakan tugas di medan dengan lebih selamat.
Mengulas lanjut katanya, seiring dengan pemberian dos penggalak, pasukan vaksinasi combat medic (CMVT) akan meneruskan program jiwa murni dengan menggerakkan pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke kawasan pedalaman.
Setakat ini, sebanyak 26 program jiwa murni CMVT telah dilaksanakan seluruh Sabah bagi pemberian vaksin dos pertama dan kedua membabitkan lebih 20,000 orang penerima vaksin.
Katanya, kebanyakan penerima vaksin di bawah CMVT ini terdiri daripada penduduk kampung yang tinggal jauh di pedalaman.
Tambah beliau, program bersama media itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada petugas media mengenai latihan menembak sebagai langkah kesiapsiagaan anggota Divisyen Kelima Infrantri untuk berhadapan ancaman di sempadan negara.
Dalam program itu, pengamal media berpeluang menyertai acara menembak pool bull, menembak individu dan juga jatuh piring.- UTUSAN ONLINE










