KLANG: Sebanyak 70 dewan awam dan sekolah di daerah ini diwartakan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) bagi kawasan berisiko sekiranya berlaku banjir berskala besar akibat Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, Mohd. Shahrizal Mohd. Salleh berkata, pelbagai agensi terlibat sudah bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir akibat taburan hujan tinggi terutama di 11 kawasan di sini yang dikenal pasti berisiko.

“Kawasan itu antaranya Kampung Tok Muda, Pulau Indah, Pandamaran, Pelabuhan Klang, Kampung Perepat, Telok Gong dan Pulau Ketam.
“Justeru, kita sudah mewartakan 70 dewan awam dan sekolah untuk dijadikan sebagai PPS jika berlaku banjir besar di Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan penduduk di kawasan berisiko banjir melibatkan sembilan daerah di seluruh Selangor dinasihatkan membuat persediaan bagi menghadapi bencana itu berikutan Monsun Timur Laut diramalkan sehingga Mac tahun depan.
Ia dijangka melibatkan 150 kawasan di sembilan daerah susulan ramalan taburan hujan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Selain 26 kawasan di Klang, ia meliputi 32 lokasi di Hulu Langat, Petaling (23), Gombak (21), Kuala Selangor (18), Sepang (17), Kuala Langat (7), Hulu Selangor (4) dan Sabak Bernam (2).
Jelas Mohd. Shahrizal yang juga Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Klang, pihaknya akan meneruskan beberapa tindakan penyelarasan bagi menghadapi banjir.
“Kita akan meningkatkan kekerapan penyelenggaraan parit dan memastikan pam atau pintu air berfungsi sebaik mungkin.
“Agensi terlibat juga sudah menambah jumlah pam yang boleh digunapakai dan memastikan semua sistem perparitan atau saliran air berada dalam keadaan baik,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka mengenai jadual air pasang besar dan ramalan cuaca sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Penduduk diminta sentiasa mengambil tindakan proaktif untuk menyelamatkan nyawa terutama kanak-kanak selain barangan penting mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE