GEORGETOWN: Terdapat sebanyak 4,683 unit rumah membabitkan nilai kira-kira RM3.66 bilion yang sudah siap dibina namun masih belum terjual di Pulau Pinang sehingga kini.
Jumlah itu meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan kedua tertinggi yang memiliki rumah tidak terjual selepas Johor sebanyak 6,509 unit (RM4.89b); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 3,863 unit (RM3.1b) dan Selangor, 3,367 unit (RM2.9b).
Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar negeri, Jagdeep Singh Deo, daripada jumlah unit rumah tidak terjual di Pulau Pinang itu, hanya 347 unit atau tujuh peratus merupakan rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah.
Sehubungan itu jelas beliau, berpandukan statistik itu juga kerajaan negeri sentiasa mengingatkan para pemaju supaya tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya turut memperbanyak pembinaan projek perumahan bagi unit di bawah harga RM300,000.
“Dalam keadaan ekonomi semua pihak terjejas ekoran pandemic Covid-19 ketika ini, para pemaju sepatutnya membuka mata dan mengambil peluang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.
“Sementelah apa gunanya mereka membina rumah berharga RM300,000 ke atas atau sehingga mencecah RM1 juta sekiranya tidak boleh terjual di sebabkan pembeli tidak berkemampuan?” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menurut Jagdeep, kerajaan negeri dalam menggalakkan pemaju membina rumah mampu milik turut memperkenalkan pelbagai insentif seperti pengurangan caj-caj melibatkan pemajuan dan sebagainya.
“Namun perkara paling mustahak adalah kita mengawal harga rumah mampu milik supaya tidak melebihi harga ditetapkan iaitu di bawah RM300,000 kerana jika dibiarkan di pasaran terbuka, harga unit ini akan dijual lebih mahal.
“Disebabkan itu juga kita mendapati rumah mampu milik yang tidak terjual di Pulau Pinang ketika ini hanya tujuh peratus berbanding 93 peratus unit rumah lain-lain,” katanya. – UTUSAN