299 kanak-kanak hilang bapa, ibu akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

299 kanak-kanak hilang bapa, ibu akibat Covid-19

DR. NORLELA ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 299 kanak-kanak di Pulau Pinang kehilangan bapa, ibu atau menjadi yatim piatu sejak berlakunya pandemik Covid-19 kira-kira dua tahun lalu.

Daripada jumlah itu, majoriti mereka kehilangan bapa yang merupakan punca utama rezeki keluarga iaitu seramai 194 orang; kehilangan ibu (78); penjaga (6) dan kedua-dua ibu dan bapa (4).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin, daripada jumlah itu, seramai 224 merupakan kanak-kanak dari keluarga Melayu; 47 (Cina); India (24) dan lain-lain bangsa (4).

Tambahnya, dari segi pecahan daerah pula, 95 daripada mereka tinggal di Timur Laut; Seberang Perai Utara (46); Seberang Perai Tengah (84); Seberang Perai Selatan (33) dan Barat Daya (41).

“Seramai 142 atau 47.7 peratus daripada kanak-kanak merupakan murid sekolah rendah, 152 atau 50.8 peratus pelajar sekolah menengah dan lima orang atau 1.7 peratus ialah pelajar sekolah agama,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Norlela, bagi menjaga kebajikan kanak-kanak terbabit, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menubuhkan jawatankuasa petugas khas (task force) dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Pendidikan negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Jelasnya, ‘task force’ itu antara lain akan melihat bentuk sokongan dan bantuan yang diperlukan kanak-kanak terbabit khususnya dalam memastikan mereka meneruskan sesi persekolahan.

Ini kerana katanya, terdapat kes yang mana dua pelajar masing-masing berusia 16 dan 18 tahun yang menjadi yatim piatu akibat pandemik Covid-19 memilih untuk bekerja bagi meneruskan kehidupan serta menyara empat lagi adik mereka.

“Selain itu, JKM ketika ini turut menghubungi kumpulan kanak-kanak yang terjejas akibat Covid-19 ini bagi menawarkan khidmat kaunselor dan sokongan selain kita turut menghulurkan bantuan-bantuan lain seperti bakul makanan dan sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya