27 tukang jahit warga Bangladesh, Nepal ditahan - Utusan Malaysia

27 tukang jahit warga Bangladesh, Nepal ditahan

JABATAN Imigresen menyerbu sebuah kawasan perniagaan di Shah Alam, Selangor dan menahan 27 tukang jahit warganegara Bangladesh dan Nepal. - GAMBAR JABATAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 27 tukang jahit warga Bangladesh dan Nepal ditahan dalam serbuan di sebuah kawasan perniagaan di Shah Alam, Selangor, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, seramai 58 orang warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 27 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 45 tahun terdiri daripada 26 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan dua notis untuk hadir memberi keterangan kepada pekerja warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Sekitar kawasan perniagaan ini turut diletakkan beberapa ‘tonto’ untuk menghidu pergerakan agensi penguatkuasaan, namun usaha tonto itu berjaya dipatahkan dengan ketangkasan pegawai operasi. Antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, siasatan di lokasi serbuan mendapati, operasi kedai jahit dilakukan di lot premis tiga tingkat dan premis itu dilihat seperti tiada aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi.

Khairul berkata, hasil pemantauan mendapati, kesemua warga asing itu akan memasuki premis dan terus melakukan kerja menjahit sehingga selesai waktu bekerja.

“Mereka hanya akan keluar dari premis ini setelah selesai tugas. Ketika serbuan dilakukan, warga asing ini tidak menyedari kehadiran pegawai serbuan dan tidak sempat untuk melarikan diri. Maklumat awal yang diperoleh menyatakan kebanyakan premis ini dimiliki warga tempatan dan di ‘Ali Baba’ perniagaan tersebut kepada warga asing,” katanya.

Katanya, premis yang menggajikan tukang jahit itu menjalankan perniagaan dengan menerima tempahan daripada pengusaha tekstil malah, tempahan biasa juga diterima tetapi hanya pelanggan tetap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN