27 kru selamat, dua daripada tiga bot bawa kelapa karam - Utusan Malaysia

27 kru selamat, dua daripada tiga bot bawa kelapa karam

KLM Budiman yang ditemukan hampir tenggelam sebelum ditunda oleh sebuah bot barter trade lain berdekatan Pulau Pisang di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Dua buah bot barter trade dilaporkan karam manakala sebuah lagi hampir tenggelam ekoran cuaca buruk di tiga lokasi sekitar perairan Pulau Pisang, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bagaimanapun, kesemua 27 kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 55 tahun itu ditemukan selamat.

Menurut beliau, Zon Maritim Batu Pahat menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru  menerima panggilan kecemasan daripada syarikat kapal berkenaan pada pukul 11 pagi memaklumkan kejadian itu.

“MRSC Johor Bahru menerima panggilan  daripada ejen terbabit memaklumkan tiga buah bot barter trade syarikatnya iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya 3  mengalami kecemasan di laut. 

“Susulan itu Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 11.30 pagi bagi menjejaki ketiga-tiga buah bot barter trade berkenaan yang membawa muatan kelapa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pada pukul 12.27 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada pihak ejen kapal itu yang memaklumkan KLM Budiman telah ditemukan dan hampir tenggelam pada kedudukan 8.1 batu nautika di Tanjung Laboh.

“Bot barter trade itu ditemukan sebuah kapal kargo yang berada berhampiran dan kesemua 10 kru warga Indonesia berkenaan dilaporkan  selamat.  

 “Sekitar pukul 12.57 tengahari pula, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai penemuan tujuh kru KLM Alam Makmur oleh sebuah kapal pasir pada kedudukan 7.4 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

“KLM Alam Makmur dilaporkan telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya disyaki akibat cuaca buruk,” katanya. 

 Sementara pada jam 3.45 petang katanya, MRSC Johor Bahru menerima maklumat mengenai 10 kru KLM Firman Jaya 3 telah diselamatkan oleh sebuah bot barter trade berhampiran dan telah dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia. 

“KLM Firman Jaya 3 juga telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya berikutan cuaca buruk.

 “Operasi ditamatkan pada pukul 5.30 petang semalam dan pihak maritim Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap semua agensi serta komuniti yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN