Dua maut tercampak atas jalan, Perodua Alza terbabas langgar pembahagi jalan - Utusan Malaysia

Dua maut tercampak atas jalan, Perodua Alza terbabas langgar pembahagi jalan

DUA individu maut selepas tercampak ke atas jalan apabila kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan di jejambat Padang Jawa, Seksyen 7 Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur menghala Klang pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Dua individu maut selepas tercampak di atas jalan apabila kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan di jejambat Padang Jawa, Seksyen 7 Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur menghala Klang pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 7.09 pagi itu, mangsa,  Merioh Asok, 26 dan Yahayah Ampiu, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu kereta jenis Perodua Alza, Nazirie Awas, 21,  tersepit dan cedera parah patah paha kanan manakala seorang lagi penumpang, Dayris Faris, 24,  berjaya keluar sendiri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 7.09 pagi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

“Berdasarkan laporan awal, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza dipandu lelaki berumur 21 tahun bersama tiga penumpang.

“Kenderaan terbabit telah melanggar pembahagi jalan menyebabkan dua mangsa tercampak ke atas jalan dengan salah seorang tercucuk besi dan disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.

Menurut Norazam, pemandu kenderaan itu didapati tersepit pada bahagian hadapan kenderaan manakala seorang lagi mangsa berjaya keluar daripada kenderaan sebelum pihak bomba sampai dan mengalami cedera ringan.

“Mangsa yang tersepit mengalami cedera parah dan berjaya dikeluarkan pihak bomba.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menggunakan ambulans.

“Dua mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya