1,440 pengembara minggu pertama VTL darat - Utusan Malaysia

1,440 pengembara minggu pertama VTL darat

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Dianggarkan seramai 1,440 pengembara dibenarkan merentas sempadan Malaysia-Singapura melalui pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat dalam tempoh seminggu pertama pembukaannya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah pengembara yang dibenarkan kemudian ditambah kepada seramai 2,500 dan 5,000 orang pada minggu-minggu berikutnya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap pembukaan VTL darat yang dijadualkan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini tidak ditangguh.

“Jumlah pengembara dibenarkan merentasi sempadan melalui VTL darat ketika pembukaannya bukan soal utama, sama ada sedikit atau banyak.

“Apa yang penting adalah kita buka dahulu laluan sempadan darat berkenaan dan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dilaksana untuk memastikan ‘safe travel’ semua pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya); Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu) dan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) berhubung SOP, pelaksanaan inisiatif VTL darat dan jumlah pengembara yang akan dibenarkan agar bersesuaian dengan kemampuan saringan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar..

Tambah beliau, kerajaan bagaimanapun sedang memuktamadkan sama ada pengembara berkenaan hanya akan dibenar menggunakan pengangkutan awam atau turut dibenar menggunakan kenderaan persendirian.

“Johor sudah bersedia untuk pembukaan VTL darat ini di mana kita telah memberi cadangan SOP dan juga sistem yang bersesuaian untuk digunakan, antaranya sistem ‘Johor Travel Safe’ yang telah dibangunkan kerajaan negeri.

“Sistem itu sebelum ini dibangunkan untuk membantu kerajaan persekutuan ketika pelaksanaan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) melibatkan seramai 2,000 orang sehari dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) melibatkan seramai 400 orang seminggu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN