14 PATI cuba seludup masuk diberkas - Utusan Malaysia

14 PATI cuba seludup masuk diberkas

PATI yang berjaya ditahan ketika cuba masuk ke negara melalui jalan tidak sah pagi tadi di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 14 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia berjaya diberkas ketika cuba memasuki negara ini melalui jalan tikus, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua PATI berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

Kata kenyataan itu, pergerakan PATI tersebut berjaya dikesan pada pukul 2 pagi selepas Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai. 

“Sekitar pukul 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati juga turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai.

“Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 4.40 pagi telah berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas sembilan PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) bersama Pasukan Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) kemudian telah diaturgerakkan bagi membuat penjejakan untuk mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi.

Pada pukul 9 pagi, Pasukan QRF telah berjaya menangkap lima lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama yang dipercayai saki baki mereka yang baru tiba ke negara ini.

“Kesemua mereka telah menjalani saringan Covid-19 di Pos Tanjung Sepang dan hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif Covid-19. 

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,063 melibatkan matawang Malaysia RM1,635, Indonesia IDR 10,338,330 (RM 3,048) bersama 11 buah telefon bimbit serta barangan kemas,” katanya.

Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas dan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

Tambahnya pasukan kemudian meneruskan atur gerak Pasukan QRF dan Pasukan Dron BSPP serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya