KUALA LANGAT: Cubaan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita menyusup masuk ke negara ini tidak berhasil apabila dicekup di kawasan Pantai Kelanang, Morib di sini, awal pagi tadi.
Penahanan itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih yang mengesan semua individu berusia 18 hingga 51 tahun berkenaan, kira-kira pukul 1.30 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Rizal Mohamed berkata, perkara itu dihidu ketika pihaknya melakukan rondaan dan pemantauan bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kuala Langat di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, kesemua warga asing itu dipercayai masuk menerusi laluan laut yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot.
“Mereka yang terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita itu mendarat di pesisir pantai Pantai Kelanang.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jelas Rizal, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka turut akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan pandemik di kalangan pesalah dan petugas,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya amat mengalukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang. -UTUSAN ONLINE