Yusof Yacob isytihar jadi ADUN Bebas sokong kerajaan - Utusan Malaysia

Yusof Yacob isytihar jadi ADUN Bebas sokong kerajaan

YUSOF Yacob (dua kanan) semasa sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan keluar Warisan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Teka-teki mengenai hala tuju politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob akhirnya terjawab menerusi pengumumannya keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini.

Ketua Penerangan Warisan ini berkata, keputusan keluar daripada Warisan bagi menjadi ADUN Bebas ini dilakukan demi kestabilan politik dan juga kepentingan rakyat di kawasan Sindumin.

“Tindakan saya ini adalah atas keputusan peribadi tanpa ada pengaruh atau tekanan siapa-siapa, begitu juga dengan parti Warisan, saya tidak mempunyai masalah dengan Warisan.

“Keputusan saya ini atas pertimbangan kewarasan untuk membolehkan saya fokus dan bekerjasama dengan kerajaan serta berkhidmat kepada rakyat di kawasan DUN Sindumin demi pembangunan daerah Sipitang.

“Dengan ini, saya isytiharkan untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan yang ada pada hari ini dan melepaskan keahlian saya dalam parti Warisan dan semua jawatan dalam parti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ketua Bahagian Warisan Sipitang ini berkata, keputusan meninggalkan parti itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan beliau bersedia untuk berhadapan sebarang tindakan daripada parti.

“Kami mempunyai perbincangan yang harmoni kerana ini merupakan pilihan dan hala tuju politik saya.

“Saya bersedia dengan apa-apa tindakan (Warisan) selepas ini, kita sedia menanggung dan menerimanya. Nasib dan kedudukan saya dalam politik terserah kepada rakyat di kawasan untuk menentukannya kerana saya ingin fokus untuk bekerja demi rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau keluar Warisan untuk agenda pembangunan dan menstabilkan politik negeri Sabah.

Katanya, beliau tidak mahu terlampau banyak berpolitik kerana pilihan raya negeri masih berbaki empat tahun lagi maka, beliau mahu menggunakan tempoh yang ada ini untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Yusof berkata, keputusan meninggalkan parti itu sudah dimaklumkan kepada ahli jawatankuasa (AJK) Warisan bahagian dan mereka menerimanya dengan terbuka.

Jika AJK bahagian rasa keputusan ini baik untuk rakyat di kawasan terserah kepada mereka kerana beliau tidak berkempen untuk mengajak ahli Warisan keluar meninggalkan parti.

Walau bagaimanapun, setakat ini, 15 orang AJK Warisan Bahagian Sipitang turut bersama-samanya keluar meninggalkan Warisan pada hari ini.

Yusof berkata, surat makluman kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai kedudukannya sebagai ADUN Bebas akan diberikan kemudian.

Desas-desus ADUN Sindumin ini meninggalkan Warisan dilaporkan dalam Utusan online pada Sabtu lalu namun, sehari kemudian Yusof menafikan spekulasi berkenaan.

Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, Warisan memenangi 23 kerusi DUN dan ketika ini, hanya 20 DUN kekal milik Warisan setelah DUN Bugaya diisytihar kosong apabila penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 16 November tahun lalu.

Sementara itu, ADUN Sebatik Hassan A. Ghani Pg Amir keluar dari Warisan pada 23 Februari lalu dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada April.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya