fbpx

Yadim pecah rekod MBOR anjur  tazkirah 24 jam tanpa henti

YADIM menganjurkan program tazkirah 24 jam tanpa henti sekali gus diiktiraf Malaysia Book Of Records.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menempa  nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila mencatat kejayaan dalam penganjuran program tazkirah 24 jam yang diiktiraf sebagai  ‘Longest Non Stop  Live Broadcasting Islamic Talk‘. 

Program tazkirah secara langsung tanpa henti terpanjang itu bermula pukul 9 malam pada 18 Oktober hingga 10 malam semalam diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1443H yang menjadi sebahagian daripada pengisian kepada program Bulan Dakwah 2.0 Yadim.  

Yadim dalam satu kenyataan memaklumkan, dengan hasrat melestarikan gerakan dakwah, program tersebut melibatkan seramai 24 penceramah dari dalam dan luar negara selama 24 jam  tanpa henti dan secara lengkap ‘membedah’ buku Sirah Nabawiyah terbitan Yadim yang diterjemah daripada kitab terkenal iaitu Al-Raheeq Al-Makhtum karangan  Syeikh Saffiyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri. 

Katanya, kitab tersebut dipilih kerana ia adalah salah satu daripada sumber rujukan  kontemporari terbaik dalam mengisahkan perjalanan hidup junjungan besar Nabi Muhammad SAW secara lengkap. 

“Dengan jumlah tontonan secara langsung melebihi 500 orang bagi setiap masa, program ini mengumpulkan sejumlah 44,893  peserta dan penonton yang mengikutinya secara fizikal dan maya di penghujung  catatan masa.

“Lebih membanggakan ketika mengumumkan kejayaan mencatatkan rekod  tersebut, Eksekutif Akaun Malaysia Book Of Records, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi turut mengumumkan bahawa Yadim sebenarnya berjaya mencatatkan rekod program selama 25 jam tanpa henti,” katanya hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hassan berkata, inisiatif berkenaan diharap mencetuskan gelombang dakwah di negara ini dan memberi inspirasi kepada banyak pihak yang sama-sama mahu melestari gerakan dakwah di Malaysia.  

Kata beliau, Yadim akan terus mempergiat aktiviti kebajikan, pendidikan dan pembangunan  sosial terangkum dalam konteks dakwah yang luas khususnya sepanjang  pelaksanaan Bulan Dakwah 2.0 sehingga hujung Disember ini. 

“Program-program yang dirancang ini pastinya membantu merealisasikan agenda  Keluarga Malaysia yang dibawa kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI