TEMERLOH: Pelancong domestik yang berhasrat mengunjungi Pulau Tioman di Rompin, dekat sini diwajibkan membuat tempahan bilik penginapan dan lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 sebelum dibenarkan ke pulau peranginan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, peraturan ketat itu bagi memudahkan pemantauan sekiranya terdapat kes positif dikesan di pulau berkenaan.
Katanya, Pahang membuka sektor pelancongan termasuk di hutan lipur selari keputusan kerajaan Pusat membuka sempadan setelah lebih setahun ditutup kepada kehadiran pelancong.
“Destinasi popular Pulau Tioman tetap menjadi pilihan pelancong apabila kira-kira 2,500 tempahan bilik penginapan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
“Pelancong ke Tioman perlu membuat tempahan terlebih dahulu dan memang kena ada tempahan kerana di sana hanya mempunyai sekitar 1,800 bilik penginapan,” katanya dalam sidang akhbar di Mentakab, di sini hari ni.
Yang hadir sama Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.
Mohd. Sharkar berkata, Pulau Tioman tidak sama seperti Cameron Highlands atau Genting Highlands yang boleh dikunjungi secara ‘walk in’ dan kemudian baharu dicari bilik untuk menginap.
“Takkanlah mereka hendak berkongsi bilik… jadi, setiap keluarga mungkin ada suami dan isteri… mungkin bersama anak mereka, kalau tidak buat (tempahan), mereka nak tidur di mana,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pengusaha pusat pelancongan, terutama pemilik hotel supaya menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 untuk pelanggan mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Mengulas statistik kemasukan pelancong ke Pahang antara Januari hingga Mac lalu, beliau berkata, seramai 430,000 pelancong direkodkan mengunjungi negeri ini.
Menurutnya, jumlah berkenaan jauh berbeza dibandingkan dengan tahun lalu yang mencatatkan 2.3 juta pelancong dalam tempoh sama.
Tambah beliau, secara keseluruhannya, jumlah kemasukan pelancong ke Pahang merosot 79 peratus sejak negara dilanda Covid-19 dan ia memberi kesan besar kepada semua pemain industri pelancongan bukan sahaja di negeri ini, tapi di seluruh negara.
Beliau dalam pada itu berkata, hampir 99 peratus hotel di Pahang sudah ditempah sejak minggu lalu dan semua pengusaha hotel dan penginapan diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka. – UTUSAN ONLINE