Urusan ambil tanah projek ECRL di Kelantan selesai - Utusan Malaysia

Urusan ambil tanah projek ECRL di Kelantan selesai

AHMAD Yakob (kiri) menurunkan tandatangan sebagai simbolik melancarkan Ringkasan Eksekutif Draf Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh 2035 di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Urusan pengambilan tanah di kawasan yang terlibat dengan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur dengan jarak 43.86 kilometer di negeri ini, termasuk bayaran pampasan selesai sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkembangan itu menjadikan Kelantan negeri terawal menyelesaikan isu pengambilalihan tanah sekali gus membolehkan pelaksanaan projek tersebut berjalan lancar.

“Projek ini turut menyaksikan landasan yang dianggarkan sejauh 11 atau 12 kilometer dari Pelabuhan Tok Bali ke Cherang Tuli di Pasir Puteh turut dibina sekali gus merancakkan lagi perkembangan ekonomi di di jajahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ringkasan Eksekutif Draf Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh 2035 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Draf Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh 2035, Ahmad memberitahu, ia melibatkan penggantian rancangan asal yang tamat tempoh pada 2020 lalu.

Katanya, penggantian itu selari dengan peruntukan Subseksyen 16(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Draf itu kita akan bentang selama sebulan sehingga 30 November ini bagi membolehkan seluruh rakyat melihat secara lebih dekat apa usaha yang akan diambil oleh kerajaan untuk membangunkan jajahan ini.

“Oleh, itu kita menggesa orang ramai supaya sama-sama memberikan maklumat bagi membantu kita merancang pembangunan di jajahan berkenaan dengan sebaik mungkin sebelum diwartakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN