UMNO jangan rasa masih muda, kena tolak boleh rebah - Pas Perak - Utusan Malaysia

UMNO jangan rasa masih muda, kena tolak boleh rebah – Pas Perak

RAZMAN Zakaria (kanan) diberi penerangan mengenai operasi mencari nelayan hilang di Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau dekat Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: UMNO perlu kekal dalam Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kestabilan politik Melayu bagi mengelak berlakunya kejatuhan kerajaan negeri seperti yang berlaku di Melaka.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, kejatuhan kerajaan negeri lain seperti di Kedah dan Johor juga boleh berlaku kerana tiada parti yang dominan dalam politik negeri berkenaan.

Untuk itu, kata beliau, UMNO perlu memahami semasa PRU-14, Barisan Nasional (BN) ada 14 komponen namun sekarang hanya tinggal tiga empat parti sahaja.

“Dengan perkembangan politik semasa, termasuk pengundi muda, lebih baik UMNO pertimbangkan untuk duduk bersama (dalam PN), fikirkan kesejahteraan rakyat.

“Keadaan politik Malaysia tidak stabil sebab masing-masing ada pengaruh, berpecah tiga, tiada kuasa yang dominan, apabila tiada dominan jadi macam sekarang, Kedah pun tak ada dominan, dia (kerajaan negeri Kedah) boleh jatuh bila-bila. 

“Begitu juga Johor pun boleh jatuh bila-bila masa sebagaimana yang terjadi di Melaka, jadi perlu ada satu pakatan sesama parti Melayu untuk semak dan imbang,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat nelayan hilang di Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau dekat sini hari ini.

Menurut Razman, keengganan UMNO bersama PN dalam PRU-15 bukan soal  parti itu sombong sebaliknya mungkin UMNO merasakan parti itu sudah lama memerintah dan rasa masih ada kuasa.

“Macam kita muda-muda dulu, kita  rasa kuat, apabila sudah tua pun kita rasa masih kuat tapi tak sedar apabila kena tolak terus jatuh, perasaan macam itu masih ada.

“Macam kita muda-muda main bola, kita  boleh berlari, apabila kita tua pun kita rasa perasaan macam itu, tapi sebenarnya kita dah tak ada tenaga,” katanya.

Sementara itu, mengenai Undi18, Razman berkata, sistem itu telah dilaksanakan di seluruh dunia untuk memberi hak kepada generasi muda mengundi.

Menurutnya, Undi18 sepatutnya dilaksanakan secara automatik bermakna tidak perlu pendaftaran baharu untuk mengundi.

“Di Perak,  hampir 500,000 pengundi 18 tahun, purata 10,000 di setiap DUN. Mereka terdiri daripada generasi yang hidup dengan gajet, semua maklumat mereka dapat, mereka boleh menilai, jadi mereka tak boleh dieksploitasi.

“Jika ada isu, mereka nilai sendiri. Ini menjadi satu cabaran kepada survival parti-parti politik kerana kempen politik tidak seperti dahulu lagi iaitu menerusi ceramah dan rapat umum,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×