Trafik lancar di sempadan Kedah, Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Trafik lancar di sempadan Kedah, Pulau Pinang 

KEADAAN trafik bergerak lancar di Plaza Tol Sungai Petani Selatan di Sungai Petani hari ini. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan bermula dari sempadan negeri Pulau Pinang dari arah selatan menghala ke utara di sini berjalan lancar.

Tinjauan yang diakukan di Plaza Tol Sungai Petani Selatan dan Plaza Tol Sungai Petani Utara di sini juga mendapati aliran trafik lancar di kesemua arah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menjangkakan tidak berlaku kesesakan di sepanjang lebuh raya di sini berikutan pengguna jalan raya telah mengambil peluang pulang ke kampung sejak Isnin lalu.

“Bermula pagi tadi kita telah meletakkan pegawai dan anggota penguat kuasa trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dalam keadaan bersedia.

“Kemungkinan kesesakan berlaku malam nanti kerana orang ramai masih bekerja di kawasan selatan hari ini, tetapi kita yakin mampu mengawal aliran trafik untuk melancarkan pergerakan kenderaan yang melalui daerah ini,” katanya di sini hari ini.

Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula 11 Oktober.

Anuar memberitahu, aliran trafik di jalan Persekutuan dan jalan negeri di sini juga berjalan lancar walaupun berlaku sedikit peningkatan kenderaan berbanding sebelum rentas negeri dibenarkan.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan tidak memberhentikan kenderaan mereka sesuka hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Pasukan kita akan turut membuat pemeriksaan terhadap kenderaan dan pemandu secara rawak bagi memastikan hanya mereka yang telah lengkap dua suntikan vaksin dibenarkan merentas negeri.

“Ini bagi memastikan keselamatan semua pihak kerana kita tidak mahu kebenaran merentas negeri ini menjadi punca kepada penyebaran virus Covid-19 berikutan negara masih dalam usaha memerangi wabak itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN