Trafik di lebuh raya PLUS arah utara lancar - Utusan Malaysia

Trafik di lebuh raya PLUS arah utara lancar

KEADAAN trafik lancar pada tengah hari ketika tinjauan di lebuh raya PLUS arah utara dekat Tapah hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Keadaan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) terutama arah utara lancar namun mencatat pertambahan jumlah kenderaan menjelang cuti hujung minggu.

Tinjauan Utusan Malaysia di lebuh raya itu dari Sungkai sehingga ke susur keluar Tapah dekat sini mendapati pergerakan kenderaan lancar dari atas lebuh raya hingga di plaza tol Tapah.

Namun, jumlah trafik di lebuh raya PLUS menghala utara dijangka meningkat menjelang petang ini apabila orang ramai pulang ke kampung pada cuti hujung minggu selepas kerajaan membenarkan rentas negeri sejak Isnin.

Selain cuti hujung minggu, orang ramai juga dijangka bercuti panjang berikutan cuti umum Maulidul Rasul pada 19 Oktober ini.

Sementara itu, tinjauan mendapati keadaan di Kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Tapah arah Utara juga tidak mengalami kesesakan orang ramai yang berhenti di hentian itu.

Pelanggan didapati memilih untuk membeli makanan secara bungkus berbanding berhenti dan makan di kedai makan di kawasan rehat itu.

Malah ada juga yang membawa bekalan sendiri dan makan berdekatan kenderaan masing-masing.

Pengunjung mematuhi penjarakan sosial serta prosedur operasi standard (SOP) ketika memasuki premis perniagaan dan tandas di R&R Tapah dan mereka juga tidak meluangkan masa yang lama di hentian rehat itu.

Sementara itu, tinjauan mendapati van Jabatan Penerangan Perak diletakkan di kawasan R& R itu dan memasang pembesar suara mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN