Tidak ada wakil rakyat dibeli di Sabah - Utusan Malaysia

Tidak ada wakil rakyat dibeli di Sabah

MOHAMMADIN Ketapi (tiga kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Warisan Bahagian Lahad Datu semasa sidang media di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dakwaan berlaku budaya beli-membeli wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) sebenarnya tidak berlaku.

Keputusan wakil rakyat meninggalkan parti didorong atas kemahuan ingin membawa pembangunan di kawasan yang diwakili.

Itu pandangan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama mengenai dakwaan terdapat cubaan membeli wakil rakyat Wa­risan.

“Sebetulnya saya yakin tiada budaya beli membeli wakil rakyat (Warisan), saya sendiri pun tidak dibeli. Saya isytiharkan keluar parti kerana ingin membawa pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama yang merupakan DUN baharu,” katanya ketika ditanya me­ngenai berlaku cubaan membeli wakil rakyat Warisan di Sabah.

Mengulas lanjut katanya, walaupun ada cubaan menjatuhkan beliau di Lahad Datu namun itu bukan alasan yang mendorong beliau meninggalkan parti.

Bekas Menteri Pelanco­ngan, Seni dan Budaya itu berkata, beliau ada mende­ngar beberapa pemimpin Wa­risan cuba berkempen menjatuhkannya namun itu adalah hak masing-masing dan beliau tidak marah dengan tindakan sebegitu.

Namun, itu bukan punca yang menyebabkan beliau bertindak meninggalkan parti kerana jika beliau kekal bersama parti, ia akan mendatangkan kesukaran untuk bekerja di peringkat bahagian.

Katanya, beliau juga bersedia dengan sebarang tindakan undang-undang yang akan diambil oleh Warisan terutama berkaitan dengan surat tidak bertarikh yang ditandatangani sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

“Surat peletakan jawatan sudah tersedia dan akan dihantar kepada Warisan bagi memaklumkan keputusan saya keluar parti,” katanya semasa akhbar di sini semalam.

Sementara itu, ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih berkata, dakwaan membeli wakil rak­yat itu sekadar satu retorik politik.

“Saya fikir itu hanya retorik atau cerita kosong. Kalau betul ada bukti, boleh kemukakan dan bawa untuk tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis,” katanya.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Beaufort itu juga menjangkakan terdapat beberapa lagi wakil rakyat Warisan bakal meninggalkan parti bagi menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Seperti yang saya katakan dulu, ada ramai lagi akan keluar, cuma tunggu masa sahaja lagi,” katanya.

Isnin menjelaskan kehadirannya dalam sidang akhbar itu sekadar untuk memberi sokongan moral dan beliau menafikan kehadirannya sebagai ‘broker’ yang bertanggungjawab menarik kemasukan ADUN Warisan ke dalam GRS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN