KUANTAN: Setiap insan termasuk golongan wanita berhak untuk berusaha dan mendapat ganjaran yang setimpal daripada apa yang mereka usahakan.
Apa yang penting, pekerjaan dibuat tersebut halal walaupun ia lebih didominasi oleh kaum lelaki.
Penasihat Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, isu wanita bekerja bukan perkara baharu dalam dunia hari ini.
“Sejak manusia dicipta oleh Allah SWT dan mula berkembang biak di dunia ini, wanita sudah pun bekerja sama ada di rumah dan di luar rumah.
“Al-Quran sendiri menjelaskan salah satu fungsi manusia sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini ialah memakmurkan bumi Allah dengan bekerja mencari rezeki bagi mendapatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang sempurna.
“Jadi sebagai wanita, mereka juga berhak melakukan apa sahaja kerja, apa yang penting ia halal dan menjaga ada serta tatasusila berpakaian,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berita berhubung tindakan sekumpulan wanita di Kuantan membuka pusat cuci kereta, Detailmode Carwash berhampiran Plaza Tol Kuantan di sini.

Mereka turut mencipta kelainan tersendiri apabila menawarkan perkhidmatan cuci kereta percuma pada setiap hari Jumaat yang hanya terhad kepada 10 buah kenderaan terawal sahaja.
Pengarah Urusannya, Alia Fasha Jalani berkata, melalui pendekatan itu pihaknya secara tidak langsung menghargai pelanggan dan memberi peluang kepada mereka yang mahu pendapatkan servis percuma.
Zuhairi dalam pada itu berkata, rakyat khususnya di negeri ini dinasihatkan supaya tidak terlalu memilih kerja dan perlu merebut peluang pekerjaan yang ada.
Ini kerana beliau berkata, pada ketika ini, Malaysia dan seluruh dunia berdepan dengan kelembapan ekonomi ekoran penularan wabak pandemik Covid-19.
“Ekoran wabak ini (Covid-19), kita sedia maklum majoriti sektor ekonomi terjejas, ramai pekerja dihentikan kerja oleh para majikan. Jadi ini bukan sama kita memilih kerja, apa yang penting kita kembali bekerja demi memperoleh pendapatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE