PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan semua data pemilik aplikasi MySejahtera tidak diceroboh atau digodam mana-mana pihak.
Dalam satu kenyataan ringkas, KKM dan pasukan yang mengendali aplikasi terbabit menerima banyak aduan melalui talian bantuan MySejahtera dan media sosial KKM mengenai berlakunya permintaan kata laluan sekali (OTP) bagi mengesahkan nombor telefon mereka untuk pendaftaran QR daftar masuk ke sesebuah premis.
“Ingin ditegaskan bahawa pihak KKM sudah menjalankan siasatan dan mendapati terdapat penyalahgunaan melalui akses skrip kepada nombor telefon secara rawak namun tindakan pantas dilakukan dengan menyekat Aplikasi Pengaturcaraan Antaramuka (API).
“Buat masa ini, Aplikasi MySejahtera juga sedang ditingkatkan keselamatannya bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.
Kenyataan itu juga menyebut, KKM meminta maaf dengan kejadian itu.
“Semua pemilik aplikasi MySejahtera tidak perlu risau kerana tiada sebarang data peribadi yang berjaya dicuri atau digodam tetapi hanya berlaku penghantaran ‘spammed’ secara rawak,” katanya. – UTUSAN ONLINE