Musim tengkujuh: Terengganu dilanda banjir akhir bulan ini?

Terengganu dilanda banjir akhir bulan ini?

HANAFIAH Mat (kanan) mengangkat beras bagi dihantar ke pengkalan hadapan Pulau Redang di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di Kuala Terengganu, hari ini. - FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Banjir dijangka melanda Terengganu bermula akhir bulan ini susulan hujan lebat luar biasa mencecah 3,600 milimeter sepanjang musim tengkujuh.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, setakat ini jumlah taburan hujan yang direkodkan di seluruh negeri sudah mencecah 2,000 milimeter.

Katanya, keadaan itu bakal menyebabkan kawasan-kawasan rendah di samping yang berdekatan sungai berisiko dinaiki air dalam masa singkat.

“Purata taburan hujan di Terengganu setiap tahun ialah 3,000 milimeter dengan purata 80 milimeter sehari.

“Tetapi, jika kadar hujan meningkat sehingga 400 milimeter sehari, maka banjir berkemungkinan berlaku seperti di Gunung Jerai, Kedah yang disebabkan kepala air,” katanya dalam sidang akhbar selepas program penghantaran 4 tan metrik makanan ke pengkalan hadapan Pulau Redang di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini hari ini.

Tahun lalu, lebih 12,000 keluarga di seluruh negeri terjejas dengan banjir sepanjang melalui lima fasa bencana itu sejak 17 November 2020.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta bagi membantu kesemua mangsa berkenaan dengan bantuan bernilai RM500 untuk setiap keluarga.

Dalam perkembangan sama, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, sebanyak RM2 juta peruntukan diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai persediaan menghadapi banjir kali ini.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM1.5 juta disalurkan kerajaan Persekutuan manakala RM500,000 daripada kerajaan negeri bagi perolehan bekalan makanan.

“Aktiviti penghantaran bekalan makanan ke seluruh 149 pengkalan hadapan sudah dimulakan sejak 7 Oktober lalu dan dijangka selesai akhir bulan ini. Terengganu mempunyai satu depoh simpanan keperluan bencana di samping 17 depoh mini bagi menempatkan fasiliti dan bekalan barangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN